Wasiat sembilan Raja Melayu ini- yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu – disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.
Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu  seperti Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1). Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.


Kini, setelah lebih separuh abad kita merdeka adakah seluruh Raja-Raja Melayu, para pimpinan kerajaan serta parti-parti politik dan seluruh rakyat khususnya orang-orang Melayu hari ini sedar dan menghayati serta patuh akan hasrat dan amanah ini?
Sungguh malanglah jika sekiranya sehingga kini kita masih lagi leka akan keseronokan yang sedikit lagi sementara dan terpedaya akan tipu daya duniawi yang terpampang di hadapan mata…sehingga akhirnya apabila kita tersedar, segalanya sudah terlambat untuk diputar kembali.
TUJUH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu dan adalah berikut:
“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.
Tujuh Perkara itu adalah

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langgit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA)

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamudahan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar Negara.

Keempat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah Negara ini.

Kelima:  Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan.

Keenam:  Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan

Ketujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan Istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)
Atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan  kesinambungan sejarah kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan Negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Fasal-fasal tersebut adalah Perkara 3(1),(2),(3) dan (5), Perkara11, Perkara 12, Perkara 38(5) Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181(1). Fasal –fasal ini memerlukan izin Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan perlembagaan Parlimen dibenarkan berkuatkuasa.