KLIK UNTUK SEMAK

Rakan Facebook

Tentang Gagasan Melayu Perak

Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.


VISI :
Berusaha untuk menyatukan melayu khasnya di negeri Perak demi hak melayu seperti yang terkandung dalam perlembagaan dan mempertahankannya bahkan memajukannya serta kedaulatan Raja-Raja dan Agama Islam

Sunday 15 April 2012

AGAMA ISLAM DAN PENYATUAN ORANG MELAYU


Sebelum kedatangan Islam ke Semenanjung Tanah Melayu, suku-suku Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu secara dasarnya menganut agama ketamadunan lain yang datang berdagang ke sini. Namun, agama-agama ini tidak berupaya menyatupadukan suku-suku Melayu yang mempunyai latar belakang keturunan yang berbagai-bagai seperti Bugis, Mendeling, Banjar, Jawa dan sebagainya.

Apabila Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Semenanjung Tanah Melayu mengisytiharkan mereka memeluk Agama Islam maka hampir keseluruhan penduduk yang berada di dalam Empayar Melaka juga mula memeluk Agama Islam. Agama Islam menjadi agama rasmi Empayar Melaka di mana saiz Empayar ini adalah sama besar dengan alam nusantara melayu itu sendiri. Melalui Agama Islam, suku-suku Melayu yang berbagai-bagai tadi mula menyatukan identiti mereka kecuali di dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat-istiadat setempat.

Persamaan identiti ini menyebabkan Empayar Melaka menjadi harmoni, sejahtera, senang dikawal dan kurang pergolakan dalaman. Keadaan ini memberi pimpinan utama Empayar Kesultanan Melayu Melaka ruang dan masa yang luas untuk membina keupayaan ekonomi dan mempromosi pelabuhan mereka dengan melakukan pelayaran-pelayaran penting ke Empayar-Empayar Asia yang lain disamping mengukuhkan hubungan diplomatik di antara Empayar mereka dan Empayar-Empayar ini.

Dek kerana keharmonian dan keamanan yang dicapai melalui Agama Islam, kuasa-kuasa Eropah merasa irihati dan mula mencari jalan untuk menjajah seterusnya merampas kekayaan yang dimiliki oleh Empayar Melaka. Jika dilihat dari sudut perspektif politik keagamaan, keputusan kuasa-kuasa Eropah ini bolehlah dianggap sebagai perluasan operasi Perang Salib. Kuasa-kuasa Eropah merasakan gerakan Agama Islam di rantau nusantara perlu dikekang memandangkan rantau nusantara mempunyai keupayaan modal insan dan timbunan sumber asli yang mencukupi untuk menjadi pemain utama dunia. 



Akhirnya, Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang beragama Islam jatuh pada tahun 1511. Dari saat itu satu demi satu kuasa Eropah berjaya menguasai serpihan Empayar Melaka yang bertaburan di keseluruhan alam nusantara. Kemuncak kepada kejayaan operasi Perang Salib ini adalah kejayaan mereka bertapak dan mengkristiankan keturunan Melayu di Filipina dan Pulau Borneo. Kejayaan ini juga disempurnakan apabila Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 termeterai. Kesan dari Perjanjian ini, satu-satunya potensi negara Islam terbesar dunia bukan sahaja dari segi keluasan malah dari segi kepadatan penduduk berjaya dipisahkan menjadi dua negara yang lebih kecil. Pada hari ini Negara-negara yang lebih kecil ini dikenali sebagai Indonesia dan Malaysia.

Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Empayar Inggeris yang menguasai Semenanjung Tanah Melayu sedaya upaya cuba memisahkan suku-suku Melayu yang mendiami Semenanjung ini. Oleh kerana itu, suku-suku ini di zaman pasca kemerdekaan lebih dikenali melalui negeri-negeri yang mereka diami seperti Orang Melayu Perak, Orang Melayu Selangor, Orang Melayu Johor dan seterusnya. Mereka juga lebih gemar berinteraksi dan berkahwin sesama keturunan mereka sahaja seperti Bugis berkahwin dengan Bugis, Jawa dengan Jawa dan seterusnya. Ketidakupayaan suku-suku Melayu tadi bersatu padu menyebabkan aspirasi politik mereka mudah dikawal oleh orang-orang Inggeris.

Suku-suku ini tidak pernah menjenguk keluar lebih jauh dari keturunan mereka, jauh sekali cuba mempertahankan hak-hak kaum serumpun mereka yang lain. Oleh yang demikian, tentangan-tentangan yang dihadapi oleh orang-orang Inggeris pada waktu itu adalah lebih berbentuk kepentingan setempat seperti perjuangan Datuk Bahaman dan Mat Kilau adalah untuk daerah … di Pahang khususnya kampung … Tok Janggut untuk daerah … di Kelantan dsbgnya.

Tentangan-tentangan kecil ini dengan mudah dimatikan oleh orang-orang Inggeris kerana suku-suku Melayu yang lain merasakan tiada gunanya mereka mencampuri dan mempertahankan hak suku lain yang tiada kena mengena dengan suku mereka. Ini mengakibatkan suku-suku Melayu ini kekurangan keupayaan ekonomi, daya intelektual dan daya saing untuk berperang dengaan orang-orang Inggeris yang menguasai satu pertiga dunia.Tidak terdapat tokoh nasional yang menyatukan suku-suku itu tadi sehinggalah orang-orang Inggeris cuba memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946.

Melalui Malayan Union suku-suku Melayu tadi sedar bahawa kini orang-orang Inggeris mahu merampas hak-hak mereka sebagai peribumi. Untuk mendepani cabaran ini suku-suku rumpun Melayu tadi sedar bahawa mereka perlu bersatu dalam jangka waktu yang singkat. Satu-satunya cara untuk mereka berbuat demikian ialah dengan melupakan ciri-ciri yang mengasingkan mereka sebagai suku-suku yang berbeza seperti bahasa, adat dan makanan serta mencari identiti yang menyatukan mereka. Satu-satunya persamaan besar di antara suku-suku tadi adalah mereka semuanya beragama Islam.

Akhirnya, perjuangan menentang Malayan Union ini berjaya menyatukan suku-suku Melayu serumpun tetapi terpisah ini sehingga mencapai kemerdekaan tanpa perlu mengangkat senjata. Demi memastikan suku-suku Melayu ini terus bersatu tokoh-tokoh Melayu melalui Parti Kebangsaan Melayu Bersatu mencipta satu formula yang dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 169. Melalui Perkara ini, orang-orang Bugis, Mendeling, Banjar, Jawa dan lain-lain dilahirkan semula sebagai sebuah bangsa super yang dikenali sebagai Melayu sahaja.

Untuk itu, adalah wajar untuk kita mendalami apakah yang terkandung di dalam Perkara 169 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 169 pada dasarnya membuat interpretasi akan makna bangsa Melayu iaitu untuk menjadi seorang Melayu seseorang itu haruslah berbahasa Melayu, mengamalkan adat-istiadat Melayu dan yang paling penting mesti beragama Islam. Jika dilihat dari sudut perspektif yang lebih luas, untuk menjadi orang Melayu pada masa kini seseorang itu tidak perlu lagi mewarisi genetik Melayu. Sesiapa sahaja dari keturunan bangsa yang lain boleh menjadi seorang Melayu dan layak mendapat keistimewaan sebagai orang Melayu asalkan mereka mahu berbahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan menganut agama Islam.

Untuk itu, pada hari ini kita boleh dapati seseorang yang mempunyai asal keturunan arab diterima sebagai Melayu, begitu juga seseorang yang mempunyai asal keturunan India dan Cina juga diterima sebagai Melayu melalui definisi Perlembagaan Persekutuan. Kata kunci utama di dalam perkara ini ialah Agama Islam. Ini adalah kerana agama Islam begitu sinonim dengan orang-orang Melayu seumpama satu duit syiling, punyai permukaan yang berbeza tetapi adalah duit syiling yang sama.

Mana-mana bangsa yang menganuti Agama Islam di Malaysia tidak boleh lari dari melakukan proses asimilisasi kepada budaya Melayu. Ini adalah kerana bahasa Agama Islam di sini adalah bahasa Melayu. Di dalam hal perayaan-perayaan Islam pula kita dapati budaya Melayu meresap jauh sehingga pemakaian pada hari-hari perayaan agama Islam juga adalah bercirikan budaya Melayu. Lagipun Agama Islam itu sendiri bersifat pragmatik di mana ianya tidak pernah menahan mana-mana bangsa dari mengamalkan adat-istiadat mereka asalkan akidah Islam iaitu mempercayai bahawa tuhan yang benar adalah Allah yang Esa, tidak beranak atau dipernakkan dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah dipertahankan.

Di samping itu, demi untuk memastikan kelangsungan bangsa Melayu super itu tadi bersatu di bawah satu panji-panji maka di formulakan pula supaya Agama Islam menjadi agama rasmi Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan disamping itu dilantik pula Yang Di-Pertuan Agong untuk menjadi Ketua Agama islam di mana Perkara 3 itu sendiri tidak boleh dipinda walaupun dengan majoriti 2/3 di Parlimen tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

Jelas, bahawa Agama Islam adalah kunci penyatuan orang-orang Melayu di seluruh archipelago rumpun Melayu. Namun, sebagai agama yang mempunyai konsep toleransi maka orang-orang Melayu yang membentuk majoriti Malaysia tidak pernah menghalang bangsa-bangsa lain dari mengamalkan adat-istiadat dan hal keagamaan bangsa mereka. Ianya dizahirkan melalui Perlembagaan Persekutuan di bawah Fasal yang sama mendefinisi Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.



Oleh yang demikian kita dapati agama lain selain dari Islam seperti Kristian, Buddha dan Hindu dengan bebas dianuti dan diamalkan di Malaysia. Walaupun ianya bebas dianuti dan diamalkan namun terdapat kekangan yang dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu agama-agama ini tidak dibenar untuk disebarkan kepada orang-orang Melayu. Ketetapan ini bukanlah kerana orang-orang Melayu takut hilang identiti mereka tetapi adalah kerana tugas mereka untuk mempertahankan Agama Islam sudah sebati di dalam jati diri Melayu itu sendiri. Untuk mempertahankan Agama Islam orang-orang Melayu tidak perlu menubuhkan parti politik yang khusus untuk tujuan tersebut. Cukuplah sekadar menyatakan bahawa terdapat mubaligh agama lain akan mengadakan upacara memurtadkan anak-anak Melayu kepada agama mereka, percayalah pasti terdapat orang-orang Melayu setempat yang akan merusuh dan menghalang upacara itu dari dilakukan.

Semasa peristiwa Natrah yang berlaku di Singapura, orang-orang Melayu dari segenap pelusuk Semenanjung datang dengan mengayuh basikal demi untuk menyelamatkan akidah Natrah. Itu peristiwa yang berlaku berpuluhan tahun dahulu di zaman pemuda-pemudi Islam rata-rata kurang fahaman Islam diketengah dengan revolusi mini skirt, pop yeh yeh, hippies dan lain-lain budaya ciptaan barat. Namun, apabila tiba soal akidah orang-orang Melayu tetap akan mempertahankannya.

Oleh yang demikian Gagasan Melayu Perak (GMP) merasa gelihati apabila mengetahui terdapat cubaan ahli-ahli agama Kristian untuk mengisytiharkan agama mereka sebagai Agama Rasmi Malaysia. Mereka ini adalah dari jenis manusia yang tidak pernah belajar daripada imbasan sejarah. Orang-orang Melayu terjajah hampir 500 tahun oleh kuasa Eropah yang datang membawa mubaligh-mubaligh mereka. Pada waktu itu, orang-orang Melayu berada di dalam kedaifan yang maha dasyat. Orang-Orang Melayu miskin, tidak mempunyai pengetahuan teknologi, malah tidak ramai yang mampu untuk belajar di sekolah. Kuasa-Kuasa Eropah ini pula datang dengan pengetahuan, kekayaan dan teknologi yang tinggi. Mereka menjajah orang-orang Melayu melalui Undang-Undang dan cengkaman kuku besi. Namun itu semua tidak berupaya merubah akidah orang-orang Melayu.

Maka itu, dengan penjelasan serba sedikit tentang kedudukan undang-undang di Malaysia, adakah paderi-paderi kristian ini fikir mereka berupaya untuk melaksana perubahan itu. Dan jika sekiranya mereka berjaya merubah kedudukan undang-undang tersebut adakah mereka berfikir akidah orang-orang Melayu dengan mudah akan berubah mengikut ketetapan undang-undang tersebut. Empayar Inggeris penakluk 1/3 dunia tidak berupaya melakukannya, inikan pula para paderi yang selama ini diberi peluang untuk tinggal dan hidup di negara Islam ini. Perlu diperjelaskan di sini bahawa untuk mempertahankan akidah Islam, orang-orang Melayu tidak perlukan Tok Guru Nik Aziz atau Pak Sheikh Anwar Ibrahim atau mana-mana ulama besar dunia untuk mengetuai kami, cukuplah dengan Allah, Rasulullah SAW dan Al-Quran sebagai penyuluh jalan.

Akhir tulisan sekadar mengambil frasa popular yang disebut oleh seorang politikus pembangkang “Langkah mayat GMP dahulu jika mahu menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia”.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts