KLIK UNTUK SEMAK

Rakan Facebook

Tentang Gagasan Melayu Perak

Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.


VISI :
Berusaha untuk menyatukan melayu khasnya di negeri Perak demi hak melayu seperti yang terkandung dalam perlembagaan dan mempertahankannya bahkan memajukannya serta kedaulatan Raja-Raja dan Agama Islam

Wednesday 18 April 2012

DOKTRIN PEMBAHAGIAN KUASA SUATU RUJUKAN SEMULA

DOKTRIN PEMBAHAGIAN KUASA SUATU RUJUKAN SEMULA
Oleh : Norali Bin Nordin

Mukaddimah

1.            Ini adalah Kertas Pandangan Gagasan Melayu Perak (GMP) mengenai isu-isu semasa yang melingkari umat Melayu khususnya di Perak.

2.            Tujuan utama ia ditulis adalah untuk kegunaan pihak GMP di dalam merangka pelan bagi mana-mana pihak yang mempunyai agenda untuk kepentingan kaum Melayu.

3.            Kertas ini juga ditulis khusus untuk diskusi Biro Perundangan GMP.


Sejarah Doktrin Pembahagian Kuasa

1.    Doktrin Pembahagian Kuasa berasal dari Republik Roman. Mereka membahagikan kerajaan mereka kepada tiga cabang yang dinamakan sebagai senate, assemblies dan magistratus.

2.    Memandangkan kegemilangan Republik Roman bernafas di zaman yang kuno maka cabang kuasa yang diwujudkan adalah memenuhi kehendak bagi menangani cabaran dari kerajaan lain yang wujud di zaman tersebut.

3.    Doktrin ini diberi pengertian baru oleh seorang sarjana perancis bernama Baron de montesquiue yang mengungguli sistem kuasa triparti di dalam sebuah Kerajaan.

4.    Beliau secara umumnya mendasarkan sistem tersebut kepada sistem perlembagaan British di mana beliau melihat terdapat pembahagian kuasa di antara institusi raja, parlimen dan mahkamah keadilan.

5.    Namun, pengkritik Montesquieu berhujah bahawa sistem British terdapat kekurangan kerana terdapat percampuran kuasa yang nyata di antara penggubalan dan eksekutif.

6.    Montesquiei berhujah kembali bahawa keralatan ini harus ditangani dengan suatu teori yang dinamakan responsible government . Apapun, montesquieui amat menerapkan bahawa kebebasan kehakiman bukanlah satu anggapan semata-mata tetapi ianya seharusnya wujud dengan sebebasnya untuk memastikan sistem bergerak tanpa berlaku ketidakadilan.


Kedudukan di Malaysia

1.    Apabila Malaya di beri kemerdekaan oleh Empayar British mahu atau tidak Malaya ditawarkan dan menerimapakai sistem British ini.

2.    Walter Bahegot merumuskan bahawa secara dasarnya sistem kuasa triparti ini bergerak seperti berikut, suatu pilihanraya diadakan untuk memilih perwakilan di cabang penggubalan.

3.    Dari sini ahli penggubal ini memilih di antara ahli-ahli mereka untuk mewakili mereka di cabang eksekutif.

4.    Cabang eksekutif pula bertanggungjawab memilih cabang kehakiman dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Namun, harus diingatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem persekutuan di mana kuasa dipecahkan diantara negeri dan pusat.

5.    Nyata sistem British ini mempunyai kelemahan yang nyata kerana kuasa tidak dibahagikan di dalam pentadbiran kerajaan malah ia sebenarnya dipusatkan dikalangan ahli-ahli  politik yang bertanding merebut tempat di cabang penggubalan.

6.    Sebagai seorang yang berkerjaya sebagai ahli politik maka mereka seboleh-bolehnya mahu merebut tempat di cabang penggubalan tersebut kerana sebaik sahaja dilantik menjadi ahli mereka mendapat elaun bulanan dan ianya juga datang dengan kuasa yang besar.

7.    Kuasa dan penyalahgunaan kuasa tidak mempunyai garis sempadan yang nyata maka akhirnya apabila dilantik berulangkali untuk mewakili sesuatu kawasan seseorang ahli politik akhirnya akan terjerumus untuk melakukan pula penyalahgunaan kuasa yang diberi kepada mereka oleh rakyat.

8.    Selepas Pilihanraya ke 12 misalnya, rakyat Malaysia telah menyaksikan perebutan kuasa yang maha hebat. Hingga adakalanya politik bukan lagi sejenis ideologi malah ianya menjadi seolah-olah seperti agama anutan seseorang.

9.    Keseluruhan rakyat Malaysia hari ini dibahagikan kepada dua anutan agama iaitu agama Barisan Nasional dan agama Pakatan Rakyat. Tok guru, penghulu, tok sami, samseng ah long dsbgnya hari ini dipandang sama sahaja hanya anutan parti yang membezakan akidah seseorang.

10. Oleh itu, hari ini penulis dengan sedihnya ingin mengumumkan bahawa di Malaysia semua agama telah mati yang tinggal hanyalah ideologi politik. Masakan tidak, hari ini, seorang islam akan dituduh munafik secara terang-terangan hanya kerana mempunyai ideologi politik yang berbeza.

11.  Sesetengah ahli-ahli politik ini dengan jolokan tok guru yang maha tinggi ilmu agamanya lupa bahawa Allah berfirman “Demi masa, umat manusia itu berada di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, orang-orang yang berpesan kepada jalan yang hak dan berpesan-pesan kepada jalan kesabaran”.

12. Apakah yang hak di Malaysia? Yang hak di Malaysia adalah orang melayu telah menghuni tanah ini semenjak beribu-ribu tahun dahulu. Mereka menubuhkan kerajaan dan ketamadunan. Ianya diiktiraf diseluruh dunia. Ianya bukan lagi menjadi hak politik tetapi ianya adalah hak tradisi. Tetapi atas dasar ideologi politik dan perebutan kuasa untuk memerintah ahli-ahli politik ini melupakan hak ini.

13. Mereka mahu menyamaratakan hak melayu dengan kaum-kaum lain yang hanya muncul di Malaysia dengan jumlah yang signifikan cuma 60 tahun kebelakangan ini.

14.  Masakan kaum yang baru setahun jagung hidup di bumi ini mampu mempunyai hak yang sama dengan kaum asal pribumi yang telah beribu-ribu tahun melata di sini.

15. Bukankah itu namanya menafikan hak kebenaran. Hak yang dipesan oleh Allah yang Esa ini bukan sahaja disebut di dalam Kitabullah malah ianya digariskan sendiri oleh kaum-kaum yang terlibat, didokumentasikan di dalam Perlembagaan Persekutuan seterusnya ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan menjadikan ianya kontrak yang mempunyai kuatkuasa undang-undang malah dijadikan undang-undang tertinggi tanah ini.

16. Namun, hak yang nyata ini mahu dinafikan asalkan mereka dapat berkuasa. Bermacam-macam alasan dan perbuatan yang tidak munasabah malah kadang-kadang menyimpang jauh dari akidah Islam ditimbulkan hanya untuk menjaga hati kaum lain demi satu undi mereka. Objektif yang paling penting bagi ahli-ahli politik ini adalah asalkan parti aku menang dan aku dapat pegang kuasa. 

17. Sebagai orang melayu yang beragama islam kita harus mendepani cabaran baru ini dengan keinsafan yang mendalam.

Pembahagian Kuasa Suatu Rujukan Semula

1.    Baron De Montesquieui adalah seorang sarjana yang hebat dengan idea-idea tentang pentadbiran kerajaan yang bernas. Ternyata idea doktrin beliau diterimapakai  negara-negara di seluruh dunia

2.    Namun, patutkah Malaysia menerimapakai idea ini? Hampir setengah abad tanah ini menerimapakai sistem tersebut hari ini kita dimomokkan oleh parti-parti politik bahawa cabang kehakiman kita gagal bersikap adil dan bebas.

3.    Ini menunjukkan bahawa sistem ini mempunyai kelemahan ketara yang harus kita perhalusi semula.

4.    Bagi penulis punca kelemahan ini adalah mudah. Baron De Montesquiei dengan segala ketajaman fikiran beliau tetap kekurangan beberapa perkara.

5.    Pertama, beliau tidak dilahirkan di Malaysia. Kedua, beliau tidak mengamalkan adat, budaya dan resam orang-orang di Malaysia. Ketiga, beliau tidak menganuti Islam. Keempat, beliau hidup beratus-ratus tahun dahulu. Kelima beliau tidak berbahasa Melayu. Keenam, beliau tidak makan belacan. Ketujuh, beliau tidak berkhatan semasa berumur tujuh tahun dan beribu-ribu kelainan lain.

6.    Secara amnya, kehidupan yang beliau alami sangat berbeza malah tidak sama langsung dengan kita yang berada beribu-ribu batu jauhnya dari beliau.

7.    Maka oleh sebab itu, penulis merasakan bahawa amat wajar para ahli sarjana Malaysia duduk dan berfikir semula akan kewajaran kita menggunapakai doktrin pembahagian kuasa triparti ciptaan orang asing  di tanah ini.

8.    Sebelum pakatan rakyat turun ke jalanan memerasugut kerajaan supaya ditubuh Suruhanjaya Di Raja bagi membincangkan hal ini dan sebelum Barisan Nasional yang memerintah namun sebaliknya menurut perintah pakatan rakyat demi satu undi kaum cina dan india dipilihanraya Tanah Melayu, maka penulis hari ini menyeru Biro Perundangan GMP untuk sama-sama memberi pendapat akan kewajaran doktrin ini di Malaysia.

Malaysia di Zaman Pra Doktrin

1.    Sebelum menerimapakai doktrin ini Malaysia menggunapakai sistem feudel di mana Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing adalah pusat kuasa yang mutlak.

2. Baginda menggubal undang-undang, menguatkuasakanya, menjadi hakim jika terdapat keraguan dsbgnya.

3.  Benarkah begitu? Menurut sarjana barat begitulah. Mungkin di negara mereka begitu, yang penulis tahu menerusi filem braveheart di England memang begitu, namun tidak di Tanah Melayu.

4.  Raja-Raja Melayu mempunyai pemikiran yang sehebat Baron De Montesquiue. Institusi Raja Melayu membahagi-bahagikan kuasa ini kepada Bendahara, Bentara, Temenggung, Shahbandar dan sebagainya sebelum Montesquieui dilahirkan lagi.

5.   Di manakah silapnya sistem feudel Melayu sehingga hari ini kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu menjadi samar-samar sehingga terpaksa dihuraikan oleh para hakim sebelum boleh menguatkuasakanya.

6.    Letaknya kelemahan sistem ini adalah kerana kegagalan orang-orang melayu untuk mempertahankannya. Kegagalan manusia melayu untuk berhujah mengatakan bahawa sistem ini adalah setanding doktrin ciptaan montesquiue seterusnya membuat pindaan supaya ia mejadi nashkah yang boleh digunapakai di zaman moden ini.

7.  Jika benar sistem ini lemah kenapa Kesultanan Melayu Melaka menjadi sangat gemilang sehingga menjadi terkenal di seluruh dunia sehingga orang barat tertarik untuk menakluk dan belajar dari sistem tersebut. Para sarjana barat memuji pentadbiran kerajaan Melayu Melaka. Keefisienan sistem ini menjadikan Kerajaan Melayu Melaka menjadi amat kaya sehingga menimbulkan perasaan cemburu orang barat lalu mereka mencari jalan menakluk Melaka.

8.  Sesuatu yang harus disemat oleh orang Melayu ialah Kesultanan Melayu Melaka sangat berbeza dengan Kerajaan dan Ketamadunan Melayu yang sebelumnnya seperti Empayar Langkasuka, Srivijaya dan Kedah Lama. Perbezaanya ialah Kerajaan Melayu Melaka menganut agama Islam agama anutan orang Melayu kini dan menjadi ciri khas orang Melayu moden. Sedangkan Empayar Kesultanan Melayu yang sebelumnya tidak menganuti Islam.

9.  Oleh itu, sistem feudel yang diamalkan oleh Kesultanan Melayu Melaka sangat berbeza dengan sistem feudel Empayar melayu sebelumnya. Dengan ciri-ciri yang sangat khusus sehinggakan terdapat satu undang-undang yang letaknya setaraf dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia hari ini. Undang-undang tersebut dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

Pemakaian Doktrin Pembahagian Kuasa Hari Ini dan Perbandingan Dengan Negara-Negara Lain

1.    Sungguhpun doktrin ini digunapakai di seluruh dunia namun terdapat negara-negara yang mengadaptasi sedemikian rupa supaya ianya menepati citarasa negara tersebut.

2. Negara Costa Rica dan Taiwan contohnya telah menambahbaik doktrin ini menjadikan cabangan kuasa dibahagikan kepada lima elemen iaitu eksekutif, gubalan, kehakiman, suruhanjaya pilihanraya dan audit negara.

3. Soalnya mengapakah Malaysia masih mahu terikat dengan sistem tiga cabang pembahagian kuasa?

4.   Mengapakah  kita tidak menambah Majlis Raja-Raja sebagai salah satu cabang kuasa yang diiktiraf sebagai cabang pembahagian kuasa yang utama di Malaysia.

5.    Pada waktu ini Majlis Raja-Raja hanya memutuskan sesuatu yang berkaitan dengan Islam dan adat resam orang Melayu. Seolah-olah Raja-Raja Melayu tidak boleh menyentuh kaum lain menjadikan mereka mempunyai imunisasi daripada Raja-Raja Melayu dan mempunyai hak yang lebih tinggi dari Raja-Raja Melayu. Bukankah kaum Cina dan India adalah juga rakyat Malaysia yang merupakan subjek kepada Raja-Raja Melayu?

6.  Kaum Cina dan India telah berikrar untuk menjadi warganegara Malaysia tiada sebab untuk mereka dikecualikan daripada menerima Raja-Raja Melayu dari  menaungi dan memayungi mereka seperti mana orang Melayu.

Rumusan

1.    Berdasarkan alasan-alasan yang tersebut di atas, penulis merasakan bahawa sudah sampai masanya Malaysia merubah sistem lama yang mempunyai banyak kelemahan dengan menambah Majlis Raja-Raja supaya ianya juga menjadi tempat rujukan rakyat Malaysia di dalam soal pengurusan kehidupan harian mereka.

2.    Soalnya, apakah tugas cabang yang baru ini. Jikalau tugasnya hanya member nasihat maka ianya tidak mendatangkan apa-apa perbezaan kerana sekarang ini pun begitulah sistemnya.

3.    Penulis merasakan Perlembagaan Persekutuan harus diubah supaya menambah kuasa Raja-Raja Melayu daripada hanya memberi nasihat kepada sesuatu yang lebih mempunyai kuatkuasa undang-undang. Semoga dengan pindaan ini Tanah Melayu dapat kembali kepada zaman kegemilangan seperti Kesultanan Melayu Melaka.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts