KLIK UNTUK SEMAK

Rakan Facebook

Tentang Gagasan Melayu Perak

Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.


VISI :
Berusaha untuk menyatukan melayu khasnya di negeri Perak demi hak melayu seperti yang terkandung dalam perlembagaan dan mempertahankannya bahkan memajukannya serta kedaulatan Raja-Raja dan Agama Islam

Monday 30 April 2012

GAGASAN MELAYU PERAK (GMP) - LABEL BERSIH 3.0 SEBAGAI KEGANASAN DAN KEKACAUAN PADA MALAYSIA


BELASUNGKAWA : DEMOKRASI - LAHIR 31HB OGOS 1957 MATI 28HB APRIL 2012
Oleh : Norali Bin Nordin, Ketua Biro Perundangan Gagasan Melayu Perak
            Penolong Setiausaha, Gagasan Melayu Perak
30-04-2012

Menurut Kamus Dewan, Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2010, Demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih di dalam pilihanraya. Di dalam konteks Malaysia pula, ianya berkaitrapat dengan Parlimen iaitu pemerintahan demokrasi yang dijalankan secara perwakilan. Negara kita memilih untuk mempraktikkan sistem ini kerana percaya akan prinsip keadilan yang menjadi teras teori demokrasi, selain ianya adalah selari dengan tuntutan agama Islam.

Oleh yang demikian, pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 yang lalu, seperti pilihanraya-pilihanraya yang sebelumnya,  rakyat memilih perwakilan masing-masing untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Parlimen. Untuk pengetahuan pembaca, cara negara kita memilih wakil bagi pihak rakyat semasa pilihanraya tersebut adalah dengan memilih calon yang mendapat undi majoriti (first-past-the-post).  Ini bermakna, di dalam mentadbir negara, kita rakyat Malaysia bersetuju untuk mengikut cara tadbiran pihak yang majoriti . Mengikut keputusan pilihanraya ke-12 tersebut, majoriti rakyat memilih Barisan Nasional untuk mentadbir mereka sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia. Sementara diperingkat negeri ada majoriti rakyat memilih pakatan DAP-PKR-PAS mewakili mereka di peringkat Kerajaan Negeri dan ada pula yang memilih Barisan Nasional.

Para pembaca yang budiman, jika dirujuk kembali definisi demokrasi yang dikupas secara ringkas seperti di atas maka terbuktilah bahawa demokrasi di negara kita sudah mati. Ini terjadi kerana pergerakan Bersih 1, 2.0 dan 3.0, suatu fahaman minoriti di dalam minoriti, berjaya membawa agenda mereka ke pentas dunia seolah-olah permasalahan mereka adalah permasalahan majoriti rakyat Malaysia. Sedangkan, kita semua tahu masalah berkenaan dengan “pengiraan undi” hanya berkait rapat dengan ahli politik sahaja, suatu  golongan yang mewakili tidak sampai 0.1 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia.

Majoriti rakyat masih terbelenggu dengan masalah-masalah asas sebagai contoh di kawasan pedalaman ada rakyat yang masih terbelenggu dengan isu air bersih, isu pemasaran hasiltani, isu kemiskinan tegar, isu kenaikan harga minyak bagi nelayan dan lain-lain. Sementara bagi majoriti rakyat di kawasan bandar pula isu-isu yang membelenggu mereka adalah isu gaji minimum yang rendah, isu dadah, isu moral, isu peluang pekerjaan dan perniagaan, isu rasuah dan lain-lain. Ini adalah isu-isu sebenar rakyat, ianya berbentuk realiti di mana ada di antara isu-isu ini yang membelenggu ahli-ahli politik itu sendiri.

Tanyalah kepada diri sendiri di manakah para pemimpin Bersih 3.0 semasa diri anda terbelenggu dengan masalah mencari pekerjaan atau masalah bebanan hutang yang melampau atau semasa tercari-cari wang untuk melanjutkan pelajaran ?  Mereka tidak nampak rupa, tetapi apabila mereka menghadapi masalah untuk memenangi pilihanraya yang menjadi karier mereka maka diri andalah yang mereka cari.

Sedarlah  rakyat Malaysia bahawa kita sekarang hidup di dalam suatu zaman yang memerlukan kita membuat pilihan. Tidak kira apa jenis aktiviti yang diceburi samada seni, sukan mahupun di dalam urusan hidup seharian, kita di dorong untuk memberi dan menunjukkan sokongan kepada sesebuah pihak.

Di dalam sukan bolasepak di dalam atau di luar negara misalnya, para peminat sukan bolasepak wajib memilih pasukan mana yang mahu mereka sokong. Di dalam cabang seni pula diwujudkan rancangan-rancangan berbentuk realiti di mana rakyat Malaysia disogok supaya menyokong bintang pilihan mereka.
Perkara ini tidak terhenti di situ sahaja, berbagai-bagai aktiviti diwujudkan bagi menyemai kesetiaan kepada pasukan atau bintang pilihan mereka. Di suatu sudut perkara ini adalah positif demi memupuk semangat berpasukan dalam mencapai kemenangan. Namun, di suatu sudut yang lain kita harus berwaspada kerana masyarakat sebenarnya sedang dipupuk dengan sikap fanatik.

Erti fanatik di dalam kamus dewan bahasa dan pustaka adalah merujuk kepada orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian. Kebiasaanya sokongan yang diberikan adalah dalam tahap melampau dan membabi buta. Sikap fanatik akan menyebabkan seseorang tidak lagi berupaya menggunakan akal dan fikiran untuk membentuk keputusan mengikut kemahuannya sendiri. Demi pilihan yang telah dibuat, walau seburuk mana individu atau pasukan yang disokong mereka akan tetap mengatakan bahawa itulah yang terbaik. Berbagai hujah dan alasan yang tidak masuk akal direka demi mempertahankan pasukan atau bintang mereka.
Demikianlah juga senario di dalam kancah politik negara. Yang lebih berbahaya adalah para peminat sesebuah parti politik bukan sahaja bersikap fanatik malah ada yang menuju ke arah sikap ekstremisma. Masih hangat lagi di dalam ingatan kejadian di negeri Perak semasa kemuncak kemelut perlembagaan negeri tersebut baru-baru ini. Seorang penyokong sebuah parti politik tergamak tidur di atas jalanraya dan menghalang kereta Sultan Perak dari bergerak. Perkara ini terjadi semata-mata untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan Sultan Perak melantik Menteri Besar baru yang bukan dari kalangan pemimpin parti mereka.

Tanpa usul periksa penyokong ini merasakan bahawa parti mereka telah dianiaya. Sikap ekstrem ini menjadikan mereka terlupa untuk membuat kajian berkenaan kuasa Sultan Perak yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kuasa eksklusif Sultan di dalam melantik Menteri Besar untuk mentadbir negeri Baginda juga dibelakangkan demi emosi ekstrem untuk menyokong parti politik pilihan mereka. Malah fungsi Sultan Perak sebagai simbol agama Islam juga sanggup dicemar meskipun parti yang disokong individu tersebut membawa ideologi perjuangan menuju negara Islam mengikut fahaman mereka.

Hal yang begitu juga boleh kita temui semasa demonstrasi Bersih 3.0 tempohari. Saya percaya rata-rata daripada para pendemonstran Bersih 3.0 tidak dapat mengaitkan betapa pentingnya mengemaskini daftar pengundi dengan kehidupan mereka atau peri pentingnya mengecat ibujari dengan dakwat hitam dengan pencarian rezeki mereka sehari-hari. Mereka berada di situ semata-mata akibat dari sikap fanatik mereka. Dan, ini jelas tidak sama sekali membantu melahirkan negara Malaysia yang berdaya maju dan disegani musuh dan rakan.


Akibat dari sikap mereka yang fanatik dan ekstrem maka mereka tidak sedar bahawa tuntutan-tuntutan mereka itu sudahpun direalisasikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Ingatlah, bahawa parti politik berdiri di atas suatu asas ideologi. Ideologi ini dikongsi sesama para pemimpin yang mengasaskan parti tersebut. Seterusnya, ianya diserap kepada penyokong akar umbi dijadikan sebagai wadah perjuangan parti. Ianya ada kaitan dengan siasah masyarakat, namun ia sama sekali tiada kaitan dengan agama kerana agama diturunkan untuk menyelamatkan individu daripada kebinasaan dan kesengsaraan. Agama mampu menyelamatkan sesebuah bangsa, tetapi parti politik jika tidak kena cara boleh menyebabkan sesuatu bangsa itu musnah dan tidak relevan lagi dalam pembangunan negaranya.

Hakikatnya, parti politik ditubuhkan dengan tujuan utama memenangi pertandingan pilihanraya. Untuk tujuan tersebut, para pemegang watak utama di dalam sesuatu parti perlu melalui proses-proses asas untuk memenangi pertandingan pilihanraya. Di antaranya adalah melakukan peperangan saikologi supaya persepsi para pengundi mengatakan mereka dipihak yang benar. Untuk tujuan itu, terdapat bermacam-macam cara dan teori yang diketengahkan oleh pakar-pakar perang saikologi. Ianya adalah adat pertandingan, namun jika ianya dilakukan secara ekstrem maka terciptalah teori politik matlamat menghalalkan cara ala Machiavelli.

Di dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, penubuhan parti-parti ini bukanlah menjadi suatu kesalahan. Namun, ianya mestilah diamalkan dengan tahap kebertanggungjawaban yang tinggi dan mengelak sikap fanatik dan ekstremisma. Perlu diingat sekali lagi bahawa demokrasi berparlimen di Malaysia membawa maksud suara majoriti. Jika parti anda mewakili golongan yang minoriti maka lakukanlah tanggungjawab anda kepada golongan minoriti tersebut kerana di dalam sistem demokrasi setiap golongan mempunyai tugas dan peranannya masing-masing dengan tujuan utama supaya semua pihak mendapat manfaat dari kemakmuran negara mereka.

Akhir sekali, para pemimpin utama parti-parti di Malaysia mestilah menerima hakikat bahawa suara majoriti rakyat sudahpun membuat pilihan iaitu untuk parti Barisan Nasional memerintah negara. Janganlah kerana mahu menang pertandingan pilihanraya yang seterusnya maka suara majoriti yang sudah membuat pilihan cuba dinafikan dengan lagak ekstremisma golongan minoriti. Hormatilah keputusan majoriti. Mungkin mereka mahukan kesederhanaan. Cubalah memahami denyut nadi rakyat mungkin majoriti mereka akan memberi anda peluang untuk mentadbir negara di pilihanraya yang akan datang. Janganlah mengguna kami rakyat Malaysia sebagai perkakas untuk tujuan karier anda. Yang pasti negara ini milik rakyat Malaysia, bukan milik anda.

TOLAK BERSIH

No comments:

Post a Comment

Popular Posts